Punca jaundis dan cara merawat
Salam pembaca, minggu ni sekali lagi kakna diberi kesempatan menghadiri bengkel postnatal care sebagai memperkukuhkan ilmu di dada. Ilmu sifatnya makin di cari makin banyak yang kita tak tahu hakikatnya.
Ok , untuk perkongsian kali ini kakna ingin berkongsi berkenaan masalah yang lazim dialami oleh bayi selepas dilahirkan. Antara jangkitan awal pada bayi yang biasa kita dengar salah satunya ialah jaundis atau demam kuning.
Punca Jaundis.
Tubuh kita menghasilkan dan memusnahkan sel darah. Apabila sel darah dimusnahkan bilirubin akan terhasil sebagai byproduct atau bahan buangan. Bilirubin perlu menjalani proses penyingkiran yang berlaku di hati dan akhirnya akan dibuang melalui najis / air kencing.
Keadaan sebaliknya pada bayi , mereka lebih terdedah kepada jaundis dek kerana fungsi hati bayi masih belum cukup matang. Fungsi hati yang belum sempurna menyebabkan proses penyingkiran terganggu dan bilirubin akan berkumpul di dalam badan bayi.
Ibubapa dan penjaga perlu peka akan perubahan yang berlaku pada bayi kerana kesan jaundis sebenarnya agak berbahaya.
Kesan Jaundis
Jaundis yang tinggi boleh mengakibatkan :
- Bahagian otak bayi rosak hingga sebabkan kecacatan akal seperti serebral palsy
- Masalah pendengaran seperti pekak
- Anak mengalami masalah pembelajaran contohnya autisma
Tanda-tanda Jaundis
Sebagai langkah berjaga-jaga, ibubapa perlu alert akan sebarang perubahan yang berlaku pada tubuh bayi. Biasanya ketika memandikan bayi atau mengurut bayi, ambil masa untuk meneliti dan memeriksa bayi anda.
- Kuning bermula seawal 24 jam selepas lahir
- Perhatikan warna kuning pada mata putih bayi dan perut. Bagi bayi yang berkulit gelap perhatikan mata putih dan gusinya.
- Badan bayi kuning sehingga ke paras bawah pusat
- Bayi sering menangis, tidak mahu menyusu atau kurang aktif/ tidur lama/lemah
- Kuning berpanjangan sehingga 2 minggu
- Suhu badan bayi naik, bayi mengalami sawan / kejang badan
- Najis bayi berwarna seperti tanah liat atau air kencing yang berwarna sepeti air teh.
Bayi dan risiko jaundis
Ibu bapa dan penjaga juga perlu bersedia dan tahu akan risiko bayi menghidap jaundis sekiranya bayi dilahirkan dalam keadaan berikut:
- Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan/ pramatang
- Bayi yang menghidapi G6PD
- Bayi yang berlawanan rhesus darah dengan ibu ; Rh-ve & Rh+ve
- Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap diabetes dan penyakti tiroid
Tahap jaundis
Jika bayi menunjukkan simptoms jaundis sebaiknya bawa bayi ke klinik semula dengan segera. Amalan seperti menjemur bayi di bawah sinaran UV matahari secara terus tidak lagi boleh dipraktikkan. Keadaan persekitaran kita sekarang sudah jauh berbeza dengan 15 atau 20 tahun yang dulu. Dengan pencemaran udara dan penipisan lapisan ozon, cahaya matahari secara direct tidak lagi relevant dan tidak selamat untuk bayi anda.
Tahap dan tanda-tanda jaundis |
Penjagaan dan rawatan Jaundis
- Sekiranya telah kembali ke rumah bawa bayi terus ke hospital dengan segera.
- Petugas hospital akan membuat ujian darah bagi menentukan tahap serum bilirubin bayi anda dan rawatan yang sepatutnya,
- Jangan berhenti menyusukan bayi. Kolustrum dan susu ibu mengandungi kandungan lemak yang tinggi dan ini merangsang bayi untuk buang air besar. Semakin kerap bayi buang air besar semakin banyak bilirubin yang akan disingkirkan. Susukan bayi setiap 2 jam.
- Hentikan pengambilan jamu , maajun yang boleh sebabkan jaundis.
- Boleh dedahkan bayi ( tidak berpakaian ) di dalam bilik yang mendapat sinaran cahaya matahari. Jangan secara direct seperti menjemur bayi di laman rumah di bawah terik panas.
Diharap perkongsian kali ini bermanfaat terutama kepada pasangan yang pertama kali mendapat zuriat. Yang penting banyakkan membaca info berkaitan penjagaan bayi dan ibu berpantang so that bila masalah timbul sekurang-kurangnya dapat juga membuat pertimbangan yang betul dan tepat.
Sekian untuk pengisian kali ini. Hopefully memberi kebaikan untuk semua!
0 comments