Pemakanan ketika berpantang menurut perspektif dietitian Q&A
Salam semua. Sedikit perkongsian ringkas untuk ibu-ibu berpantang mengenai pemakanan ketika berpantang. Untuk lebih mesra pembaca, post kali ini dalam bentuk format Q&A. Mudah nak semak dan hadam kan.. betul x?
Q1) Apakah keperluan kalori untuk ibu berpantang?
Jumlah kalori harian bagi ibu yang sepenuhnya menyusu badan ialah sekitar 2300-2500 kcal sehari. Keperluan kalori mungkin meningkat sedikit bergantung kepada aktiviti harian, jika ibu aktif bersenam atau ibu yang menyusukan bayi kembar dua atau lebih.
Q2) Bagaimana dari segi keperluan makronutrient seperti karbohidarat , protein dan lemak?
Pembahagian makronutrient ini masih sama seperti diet biasa. Fokuskan kepada pemilihan jenis makanan yang sihat. Jangan terlalu menghadkan pengambilan lemak semata-mata kerana ingin cepat kurus kerana lemak baik diperlukan untuk penghasilan susu badan yang cukup dan berkualiti. Apakah contoh lemak yang baik ; Minyak zaitun, Fish oil (DHA & EPA) , buah avacado , chia seed, Minyak kelapa dara (Virgin coconut oil).
Q3) Apakah perlu untuk ibu selepas bersalin mengikut pantang larang pemakanan yang ditegah oleh nenek moyang? seperti dilarang makan sayuran menjalar, makanan yang sejuk / tajam, ikan berbisa/ gatal dan lain-lain?
Walaupun dari segi saintifiknya tidak ada kajian khusus mengapa ibu perlu berpantang makan menurut petua nenek moyang, namun mengikut pengalaman yang dikongsi oleh ibu-ibu menyatakan pantang larang ini ada asasnya. Pada pandangan saya sebagai seorang dietitian, kami juga perlu memberi nasihat pemakanan dengan mengambil kira faktor budaya dan adat resam sesuatu kaum. Mengecualikan makanan tertentu dalam diet harian ibu berpantang, tidak akan menghadkan akses ibu dan bayi kepada makanan sihat. Bumi Allah SWT ini luas dan penuh dengan rezeki melimpah ruah, pilih lah yang terbaik.
Q4) Apakah jamu selamat diamalkan selepas bersalin?
Bagi ibu yang menyusu badan lebih-lebih lagi"exclusive breastfeeding", pengambilan jamu tidak digalakkan kerana dikhuatiri punca sebab jaundis kepada bayi. Sekiranya ingin diamalkan juga, boleh selepas tempoh berpantang tamat atau dilanjutkan sedikit masa lagi. Ada juga ibu yang mengalami alahan terhadap jamu, jika iya, elakkan secara total. Gantikan pengambilan jamu dengan air rebusan akar kayu (ubat periuk), ulam-ulaman segar , minum susu badam / kambing atau pengambilan pre/postnatal supplement sebagai penambah tenaga.
Q5) Adakah supplement penting selepas kelahiran bayi?
Sekiranya diet harian ibu cukup khasiat dan zat, maka makanan tambahan bukanlah suatu keperluan yang wajib. Tanda-tanda seperti letih lesu, sukar tidur, perasaan tertekan dan mudah marah, kekurangan susu badan, muka yang pucat, otot yang mudah kejang, sakit pinggang, luka jahitan bersalin lambat sembuh, berkemungkinan adalah disebabkan kekurangan nutrisi. Jika mengalami perkara demikian , bantuan daripada makanan tambahan diperlukan. Kalsium , Magnesium, Zat Besi, Folate, Omega-3, Vitamin C dan Zink antara unsur zat yang memberi manfaat dalam penyembuhan tubuh badan ibu selepas bersalin. Jangan membuta tuli mengambil 1001 macam produk, kaji selidik apa yang ibu betul-betul perlukan.
Q6) Apakah bagus mengamalkan pemakanan sunnah seperti minum susu kambing, makan buah kurma/ buah tin/ habbatus sauda, buah delima , minum air zamzam , madu, zaffran, minyak zaitun dan lain-lain?
Insyaallah jika niat dimulakan dengan baik, baik jugalah hasil yang diperoleh. Pemakanan sunnah disokong bukan sahaja amalan terbaik dari Rasulullah SAW tetapi juga bukti-bukti saintifik dari hasil kajian. Jika dapat diambil dalam bentuk makanan segar dan tidak diproses adalah lebih baik. (Jika boleh). Habbatus sauda / jintan hitam misalnya sangat mujarab untuk membuang angin dan memanaskan badan ketika berpantang. Ia juga antara herba yang digunakan masyarakat melayu ketika membuat rawatan bertangas kering.
Q7) Bagaimana memastikan kelansungan bekalan susu badan?
1. Makan secara sihat ( Diet merangkumi karbohidrat, protin, lemak baik, serat)
2. Kerapkan menyusu dan stimulasi dari bayi / express breast milk (EBM) jika bayi menolak untuk menyusu.
3. Pelajari teknik menyusu yang betul dan elakkan jangkitan / kecederaan seperti melecet atau bengkak susu pada payudara agar stimulasi dari hisapan bayi tidak terencat.
4. Berfikiran positif dan emosi harus stabil. Mindsetting untuk menyusu bayi secara eksklusif.
5. Tidur yang cukup dan berkualiti.
6. Minum air mencukupi ( 2-3 liter sehari diagihkan sepanjang hari , boleh juga hirup sup tulang)
7. Bantuan makanan tertentu seperti pengambilan fenugreek/ halba, zaffran, alfalfa, lobak putih, peria makanan sunnah yang disebutkan di atas.
Q8) Apakah ulam-ulaman atau pucuk tumbuhan yang elok diambil ketika berpantang?
Ulam-ulaman dan pucuk yang segar amat digalakkan untuk ibu berpantang. Ulam dimakan tanpa dimasak dan dipetik segar maka khasiat yang didapati daripadanya juga tinggi.
Contoh ulaman yang sesuai dimakan ketika berpantang ;
Mudah didapati ; Ulam raja, daun cekur, pucuk mengkudu, daun kesum, halia, kunyit hidup, daun pegaga, daun lemuni, daun kari, bunga kantan dan daun pudina
Sedikit sukar untuk didapati : pucuk kaduk, daun sekentut, daun bebuas, daun ruku, daun cemumar.
Q9) Bolehkah minum ais ketika berpantang?
Mengikut cara traditionalnya, minuman berais tidak dibenarkan sama sekali. Minuman berais menyebabkan keletihan pada badan.
Q10) Bagaimana menu berpantang sehari yang ideal?
Tiada menu yang ideal cuma amalkan pemakanan sihat.Sarapan pagi
- 1 gelas susu suam ( susu badam / susu kambing )
- 1 biji telur ayam kampung setengah masak ( boleh diambil jika luka tidak gatal/melarat)
- 1 sudu kecil madu lebah asli
- 2 keping roti bijirin penuh / 2 biji kuih muih
- Air akar kayu atau air zaffran atau air halia lemon
Makan tengahari
- 1 cawan nasi panas ( Boleh guna beras perang)
- Ikan kukus halia
- Kerabu ulam pegaga
- 1 mangkuk kecil Sup sayur / Sup tulang
- 1 biji buah oren
- Air masak suam
Minum petang
- 1 cawan koko panas ( van houten , horlick )
- 1 biji kuih
Makan malam
- 1 cawan nasi panas
- Ikan masak pindang
- Kerabu Ulam raja
- 1 biji epal
- Air masak suam
Diharapkan artikel ringkas ini sedikit sebanyak boleh membantu menjawab pertanyaan para ibu di luar sana. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana badan berkait dengan pakar pemakanan atau dietitian.
Jika anda fikir ia bermanfaat sila berkongsi. Sekian dulu.
0 comments